Thursday, 29 September 2011

Practice

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Inilah adalah sekitar latihan bagi job pada 15 dan 16hb ini di Berembang. Dijangkakan akan ada joget lambak, jadi beberapa sebelum latihan, senarai lagu joget atau pun yang boleh menari tu telah pun diedarkan. Dijangkakan juga majlis akan diserikan oleh Saudari Qin yang mana merupakan seorang pelajar muzik UiTM Shah Alam, saya sendiri sebagai vokalis dan Saudari Liza. Jadi, saya pun ternanti-nanti juga majlis pada 15 dan 16hb ni walaupun sedikit terkejar-kejar. Apa pun, saya harap semuanya mantap-mantap belaka. Enjoy! :)

Layan Suasana Sekitar Sesi Latihan
Antara otai-otai sebagai pemuzik.
Saudari Qin selaku keyboardist.
Pening kepala kot cari key lagu :P

Sekian dan wassallam~

Tuesday, 27 September 2011

Preparation!

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Function anak boss - Ayien bakal berlangsung dari Jumaat, Sabtu dan Ahad ini. Jadi, nantikan sahaja update terkini daripada saya. Ni sebenarnya majlis di sebelah pihak lelaki dan majlis di sebelah perempuan dah pun berlangsung beberapa minggu yang lalu. Memandangkan ini anak boss yang kahwin, kena datang cepat dan kena rewang juga. ahahaha... Baiklah boss! Uncle cakap semalam, hari Jumaat karaoke dah pasang untuk penanggah-penanggah. Hari Sabtu pula lebih kepada suasana santai dan mana tau malamnya pula nanti ada joget lambak. haaa... Ambil kau! Siang Ahad pula dengarnya band Erin akan ada. jadi, sama-sama nantikan update berserta gambar-gambar pada hari tersebut.

Rabu ni pula, saya ada practice untuk function 15 dan 16hb ni. Terasa juga penatnya tapi dah komitmen, nak tak nak kenalah pergi juga. Apa yang penting, report latihan praktikal kena cepat selesaikan dan deadline 7hb. Okey... sekarang telinga tengah kena sumbat dengan lagu-lagu yang tak pernah dengar. KENA DENGAR JUGA. ahahahaha! :)

Sekian dan wassallam~

Sunday, 25 September 2011

Kena Pinjam

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Ini adalah satu perkongsian yang menarik. Menariknya kerana sehari sebelum kejadian, saya telah dihubungi oleh Uncle Selamat. Saya sendiri pun memang nak menghubungi Uncle Selamat sebab sejak bergelar FREELANCER ni, jadual agak padat dan diharapkan akan sentiasa padatlah... Insya' Allah. Jadi, bila masing-masing dah sesama menghubungi, rupanya Uncle Selamat nak mengkhabarkan sesuatu. Bukan sekadar memberitahu tetapi meminta saya memenuhi permintaan salah seorang kawan lamanya yang ketiadaan penyanyi perempuan di saat-saat akhir. Al-kisahnya kawan Uncle Selamat ni bernama Uncle Raja Sulaiman. Uncle Raja mempunyai jamuan hari raya dan dijangkakan ada penyanyi perempuan yang akan menghiasi majlis tersebut. Namun, di saat-saat akhir, beliau ketiadaan penyanyi. Walaupun busy sebab nak memenuhi undangan open house, saya akhirnya bersetuju untuk melapangkan masa demi Uncle Raja.

Tetapi sebenarnya agak nervous sebab boleh dikira ni yang pertama saya memenuhi undangan menyanyi untuk jamuan raya. Maka, kelam-kabut juga mendengar lagu raya dan hanya berkesempatan 30 minit sebelum sound check, saya practice di rumah. Macam tulah singkatnya masa. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar sebab memang dah ada tentatif program. Saya hanya perlu menyanyi bila diarahkan sahaja. Bermakna, masa selingan tu ada DJ yang bertugas dan saya duduk diam je. Selain daripada tu, ada juga anak-anak yatim dari Johan Setia rasanya. Sempat jugalah saya usik-mengusik. Tetapi, dalam kesibukan tu, gambar dengan krew-krew tak sempat pula dan gambar saya sendiri pun tak ada walaupun hati tu nak sangat bergambar. Yang ada, cuma 2 keping gambar anak-anak yatim ni semua. Walaupun apa pun, rasa seronok jugalah bekerjasama dengan team Uncle Raja ni :)

Layan Gambar-Gambar Sekitar Majlis
Anak-anak dari rumah anak yatim.
Inilah dia anak-anak yatim yang diraikan.

Sekian dan wassallam~

Tuesday, 20 September 2011

Pembukaan

Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Alhamdulillah, hari ni saya membuat keputusan untuk bergelar 'FREELANCER.' Tapi, saya ni tak adalah nak memonopoli apa jua benda sampai benda yang tak boleh buat pun saya nak buat. Saya hanya fokus kepada beberapa bidang sahaja dan selain daripada membuat kerja FREELANCE ni, anda yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan karaoke dan juga band boleh berhubung dengan saya atau hubungi sahaja nombor yang tertera.

Walaupun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Inggeris Untuk Komunikasi Profesioanl, tetapi saya lebih selesa untuk menulis, menerang dan bercerita di dalam blog FREELANCE ni di dalam Bahasa Melayu bagi memudahkan pemahaman semua lapisan masyarakat. Selain daripada itu, saya juga menggunakan pengalaman dan pembelajaran saya melalui Diploma Teknologi Kreatif (Penulisan Artistik) di dalam setiap tugasan kerja saya. Saya amat mengharapkan sokongan daripada kalian semua tidak kira walau di mana anda berada.

Saya merupakan seorang wanita yang ringkas - iye, kadangkala saya kelihatan terlalu ringkas kerana kurang gemar berhias. Bak kata orang, saya seorang yang sempoi dan mudah bergaul. Saya dilahirkan dan dibesarkan di Klang. Tetapi, ayah dan mama saya berasal dari Negeri Sembilan dan telah lama menetap di Klang, Selangor. Saya juga memulakan alam persekolah di Klang sehinggalah menamatkan Tingkatan 5. Sedih juga kerana tidak berpeluang merantau jauh ke tempat orang. Mungkin belum rezeki saya agaknya. Saya tidak pernah sama sekali terfikir untuk bergerak secara FREELANCE tetapi atas cadangan rakan-rakan, saya rasakan ini mungkin satu peluang yang baik untuk saya.

Saya memulakan aktiviti menyanyi saya dari Tingkatan 4. Memang kedengaran terlalu lewat bagi anda yang sudah mula menyanyi seawal 4 tahun! :) ehehehehe~ Saya juga sama sekali tidak mempunyai asas dalam bidang muzik dan terjebak secara tidak diduga. Terima diucapkan kepada Cikgu Amnah binti Rambli (memang tak akan lupakan jasa Cikgu!) yang telah mengenengahkan saya kepada aliran seni suara ketika di Tingkatan 4. Saya bermula sebagai penyanyi keroncong dengan lagu Di Bawah Sinar Bulan Purnama di SMK Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Kumpulan kami hanya bergerak secara perlahan dengan mengadakan persembahan di dalam sekolah serta menjayakan persembahan malam merdeka di Dataran Seni, Klang pada ketika itu. Kumpulan kami pada waktu itu dipimpin oleh Cik Delly (kini bergelar Puan - Puan Fadlita) yang mana kini merupakan salah seorang tenaga pengajar bagi rancangan Idola Kecil. Selain daripada itu, saya juga merupakan pendeklamator yang mana bakat saya turut diasah oleh Cikgu Amnah binti Rambli. Sebelum saya terjebak ke aliran seni suara, saya sebenarnya telah terlebih dahulu berkecimpung dalam arena deklamasi sajak. Saya lebih terarah kepada sajak kemerdekaan kerana ianya memerlukan suara yang lantang (di situ kekuatan saya dalam mendeklamasi sajak). Saya pernah muncul di kaca televisyen dalam siaran selingan di RTM 1 pada ketika itu.

Ketika masih dalam peringkat Diploma, saya hanya banyak melakukan persembahan bagi makan malam atas jemputan kawan-kawan. Terima kasih saya ucapkan kepada Saudari Faizan (Kini bergelar Puan Izan), Saudari Ana (Kini Puan Ana) dan juga Saudari Aini atas jemputan sebagai penyanyi undangan pada ketika itu. Meskipun saya sering mencuba untuk pergi lebih jauh dalam bidang seni suara, namun rezeki masih belum menyebelahi diri saya. Sehinggalah akhirnya Uncle Selamat menawarkan saya part-time menyanyi suka-suka di kenduri kahwin. Pada asalnya, saya hanya melepak di sebuah restoran yang menyediakan hiburan karaoke dan set karaoke itu kepunyaan Uncle Selamat. pada awal pembabitan saya mengikut Uncle Selamat, saya terasa amat kekok dan koleksi lagu nyanyian saya sangat terhad. Seterusnya, saya berkenalan dengan Saudari Erin yang boleh saya anggap sebagai profesional dalam bidang seni suara (Maaf, saya tidak mempunyai banyak info tentang Saudari Erin berkaitan pembabitan awal beliau dalam bidang seni suara). Maka, perkenalan saya dengan Saudari Erin sedikit sebanyak telah menyebabkan koleksi lagu nyanyian saya berkembang. Saudari Erin pada waktu itu turut menyanyi bersama band beliau sendiri dan sering memenuhi pelbagai undangan nyanyian. Saya pula terus bersama dengan Uncle Selamat dan secara tidak langsung, saya telah terikat bersama Uncle Selamat. Terima kasih kepada Uncle Selamat yang telah memberikan pendedahan kepada saya dalam bidang ini. Jika anda berminat mendapatkan khidmat karaoke Uncle Selamat, jangan malu untuk hubungi kami.

Seterusnya, ketika menuntut di peringkat Ijazah, saya telah memberanikan diri untuk mengikuti ujibakat DJ radio di Radio UiTM iaitu UFM. Alhamdulillah, rezeki menyebelahi saya ketika itu di mana saya telah diterima sebagai DJ UFM secara sambilan di bawah Skim Khidmat Pelajar. UFM boleh didengari di frekuensi 93.6 di seluruh lembah Klang dan anda boleh dengarkan secara online di http://www.ufmonline.blogspot.com/. UFM hanya bersiaran selama 12 jam iaitu seawal 7 pagi sehingga 7 malam. Saya memperoleh pengalaman yang berharga selama 2 tahun berkhidmat di UFM. Sepanjang 2 tahun itu, saya telah berpeluang mengendalikan pelbagai segmen selain membuat siaran luar di sekitar Shah Alam. Ianya memang satu pengalaman yang berharga yang mana akhirnya telah membuka peluang saya untuk menjadi DJ bagi Uncle Selamat. Memandangkan saya berpengalaman sebagai DJ radio selama 2 tahun, akhirnya Uncle Selamat memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi DJ beliau bagi menggantikan anak beliau sendiri yang sudah mempunyai pekerjaan tetap selain komitmen masa yang tidak menentu.

Saya membawa bidang DJ dan juga seni suara secara seiringan. Saya katakan begini kerana saya turut berkesempatan menyertai sebuah band dari Meru. Itulah adalah pengalaman pertama saya menyanyi bersama band iaitu Spit Fire Band. Meskipun tiada pengalaman bersama band, tetapi saya bertekad untuk menguasai nyanyian bersama band. Sayangnya, Spit Fire Band tidak bergerak aktif dan saya hanya berkesempatan bersama mereka untuk 2 buah majlis perkahwinan di Kuala Lumpur. Buat masa ini, Spit Fire Band masih lagi mencari-cari line up yang baru namun saya terus mengorak langkah dan membina kerjaya FREELANCE saya sendiri. Oleh kerana keinginan yang tinggi untuk bersama band, saya akhirnya menyertai AA Band di Bandar Sultan Sulaiman, Port Klang. AA dianggotai oleh pemuzik-pemuzik yang boleh saya anggap sebagai otai. Oleh kerana AA Band ini, saya akhirnya mengakui bahawa saya perlu mempelajari banyak lagu-lagu lama. Saya amat menghargai peluang ini dan mengharapkan agar saya akan terus mengorak langkah yang lebih jauh bersama mereka. Jika anda berminat, jangan teragak-agak untuk menghubungi kami.

Pada awalnya, saya sebenarnya merupakan seorang yang agak pemalu. Ketika di peringkat Diploma, kami sebenarnya diperlukan untuk bergaul dengan ramai orang dan di situlah saya memecahkan sifat yang sedikit pemalu dalam diri saya. Pada ketika itu, saya cuba mengatasi rasa malu dengan mencuba bakat dalam bidang lakonan. Memandangkan itu adalah pengalaman pertama saya, saya memilih untuk mencuba lakonan di Unit Drama Radio. kebetulan pula saya sedang menjalani latihan praktikal ketika dan kesempatan itu saya gunakan sebaik yang mungkin. Kami (pada ketika itu saya, Nanie dan Sheila) juga diberi kesempatan untuk menerbitkan drama-drama radio yang ditugaskan kepada kami. Kami berpeluang mengolah skrip, menguruskan rakaman drama radio tersebut dan seterusnya melakukan suntingan. Itu adalah satu pengalaman yang berharga dan saya sangat mengalu-alukan sesiapa yang memerlukan pelakon drama radio atau pun memerlukan individu untuk voice-over dan narrator, bolehlah hubungi saya kerana saya amat berminat. Di samping itu, saya juga sedang berjinak-jinak dalam bidang terjemahan dan lebih selesa melakukan terjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu.

Ini adalah serba sedikit tentang diri saya. Saya mengalu-alukan anda yang sedang mencari FREELANCER DJ/MC bagi sebarang majlis dan acara. Saya juga bersedia bagi sebarang majlis deklamasi sajak juga menyerikan sebarang majlis yang memerlukan penyanyi. Bayaran yang dikenakan boleh dirunding berdasarkan kepada lokasi anda. Jika berminat, boleh sahaja berhubung terus dengan saya melalui ddeayanz@gmail.com atau hubungi saja saya di talian 019 664 2254. Terima kasih~

Sekian dan wassallam~